Che Ibrahim Che Ismail –
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara
MELIHAT karismanya mengemudi sebuah syarikat pengangkutan membabitkan urus niaga jutaan ringgit serta menaungi lebih 200 pekerja, pasti ramai terkejut jika diberitahu Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail, hanya bersekolah setakat tingkatan tiga.
Bagaimanapun, Che Ibrahim, 54, tidak pernah malu dengan kenyataan itu, sebaliknya bangga kerana mampu mencipta kejayaan dikecapinya sekarang biarpun tidak menjejakkan kaki ke menara gading dan menggenggam ijazah.
Bagi bapa kepada 11 anak itu, pengalaman hidup sebagai orang tidak berpendidikan tinggi dan dibesarkan dalam keluarga nelayan yang serba kekurangan menjadikan dia lebih cekal serta menjadi pembakar semangat kepadanya untuk menjadi insan berjaya.
“Sebelum ini saya selalu dicemuh rakan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Saya juga selalu menjadi sindiran orang ramai hanya kerana saya tak belajar tinggi.
“Namun semua itu membuatkan saya kuat serta tabah. Kesusahan hidup mendorong saya berusaha gigih untuk mengubah kehidupan,” katanya.
Che Ibrahim berkata, menyedari kekurangan dirinya, beliau melihat hanya perniagaan menjadi kerjaya terbaik untuk dijadikan sumber pendapatan.
“Jadi, sejak usia belasan tahun lagi saya mula berniaga secara kecil-kecilan. Seingat saya, pada usia 18 tahun saya mula serius menjual buah-buahan. Alhamdulillah, rezeki saya murah kerana selain menjual, saya menjadi pengedar.
“Sebagai pengedar, saya perlu hantar buah-buahan hingga ke luar Kelantan, menyebabkan saya terpaksa menyewa van dan lori. Semua itu membabitkan kos tinggi dan daripada situ saya melihat peluang dalam perniagaan bidang pengangkutan,” katanya.
Menurut Che Ibrahim, ketika itu dia hanya ada sebuah lori yang layak dijadikan aset, namun itu tidak membantutkan cita-citanya.
“Saya nekad menghantar lori itu ke bengkel untuk diubah suai menjadi bas sekolah. Berbekalkan modal kira-kira RM8,000, lori itu kemudian diubahsuai menjadi bas sekolah yang mampu memuatkan 37 penumpang,” katanya.
Bermula detik itu, beliau mula serius untuk terbabit dalam perniagaan pengangkutan dengan beralih bidang daripada penjual buah kepada pemandu bas yang membawa murid sekolah di sekitar Kota Bharu.
Walaupun terpaksa berdepan cabaran untuk mendapatkan permit daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), beliau menganggap itu asam garam dalam perniagaan dan ia perlu ditempuh dengan sabar, terutama bagi yang tidak berpendidikan tinggi.
Selepas beberapa tahun mengusahakan bas sekolah, Che Ibrahim mula mengembangkan perniagaannya dengan turut menyediakan bas kilang selepas mendapati permintaan terhadap perkhidmatan itu tinggi di sekitar Kota Bharu.
“Berbekalkan modal yang saya kumpul hasil mengusahakan bas sekolah, saya beranikan diri membeli beberapa bas kilang. Alhamdulillah, strategi saya mengena kerana perniagaan saya berjalan lancar sebagaimana dirancang.
“Sehingga 1992, saya ada 20 bas kilang dan 10 bas sekolah dengan jumlah pekerja kira-kira 30 orang. Sambutan pelanggan sungguh memberangsangkan, mungkin disebabkan ketika itu masih tidak banyak pengusaha bas kilang dan sekolah,” katanya.
Lumrah orang berniaga, selagi ada peluang terhidang pasti dimanfaatkan dan itu dilakukan Che Ibrahim apabila melihat potensi untuk perniagaan bas sekolah dan bas kilang miliknya dikembangkan lagi dengan menyediakan perkhidmatan bas ekspres.
“Ketika itu kerajaan membuat tawaran untuk memberi bantuan kepada pengusaha yang berminat dalam perniagaan perkhidmatan bas ekspres. Saya segera memohon dan berdasarkan pengalaman yang ada, permohonan saya diterima.
“Bermula detik itu, wujudlah Konsortium Mutiara. Nama Mutiara saya pilih kerana ia saya harap akan sentiasa bersinar dan membawa rezeki kepada saya,” katanya.
Che Ibrahim berkata, selepas menceburi pengangkutan bas ekspres, beliau terpaksa menghentikan perniagaan perkhidmatan bas sekolah dan kilang kerana ingin memberi tumpuan penuh kepada bidang perniagaan barunya yang lebih mencabar serta memerlukan komitmen tinggi.
Menurutnya, walaupun perniagaan bas ekspres memerlukan modal tinggi kerana sebuah bas berharga antara RM600,000 hingga RM800,000, ia mampu memberi keuntungan berpanjangan kerana pengangkutan sentiasa diperlukan semua lapisan masyarakat.
Kini, beliau mampu tersenyum puas apabila Konsortium E-Mutiara memiliki sebanyak 60 bas, termasuk 10 bas dua tingkat dengan kekuatan pekerja seramai 231 orang.
Setakat ini, bas ekspres Konsortium E-Mutiara menyediakan perjalanan ke semua destinasi seluruh negara, kecuali Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Walaupun berdepan kemunculan banyak syarikat bas yang baru, saya tidak menganggapnya cabaran, sebaliknya sentiasa berfikiran positif dengan sentiasa bekerja keras untuk memastikan perkhidmatan yang kami sediakan lebih baik berbanding pesaing,” katanya.
Menjawab soalan apakah cabaran paling getir dihadapinya dalam menguruskan perniagaan, Che Ibrahim berkata, perkara paling ‘ditakutinya’ ialah kenaikan harga bahan bakar serta kos alat ganti kenderaan yang boleh dikatakan berlaku setiap bulan.
“Dalam hal ini pengusaha perkhidmatan pengangkutan banyak bergantung kepada dasar serta bantuan disediakan kerajaan. Alhamdulillah, bantuan kerajaan seperti pemberian subsidi diesel banyak membantu syarikat saya,” katanya.
>Profil
NAMA: Che Ibrahim Che Ismail
JAWATAN: Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara
LAHIR: 18 Julai 1955
ISTERI: Naemah Yaacob, 30
ANAK: Sebelas anak hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya iaitu Khahalilullah (28); Tamtini (27); Amalina (26); Khairul Azhar (25); Khairul Anam (23); Khairul Adni (21); Salsabila (17); Siti Nahwan (15); Mohd Atifuddin (13); Nurul Aufa (10) dan Mohd Anwar (8)
PENDIDIKAN: Tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, Kelantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan